30 Jun 2026, Selasa - Bahagian Pengurusan Makmal Universiti (BPMU) bersama-sama Synchronetwork Sdn. Bhd telah mengadakan Bengkel Kick-Off Projek Rintis CariLab di Bilik Seminar PSP, Putra Science Park. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan platform CariLab kepada pegawai bertanggungjawab (PYB) makmal yang telah disenarai pendek untuk terlibat dalam projek rintis ini. Penglibatan makmal yang terpilih ini adalah penting bagi membantu proses ujilari sistem, mendapatkan maklum balas pengguna serta menambah baik fungsi platform sebelum pelaksanaan yang lebih meluas.
CariLab merupakan sebuah platform digital di bawah inisiatif UPM Product First yang dibangunkan bagi memudahkan akses kepada kemudahan makmal penyelidikan dan pengujian melalui pendekatan yang lebih bersepadu, cekap dan berpusat. Platform ini berfungsi sebagai medium untuk mempromosikan perkhidmatan dan alatan makmal, disamping memudahkan urusan pencarian, tempahan dan akses kepada kemudahan makmal oleh pengguna dalaman dan luaran.
Seramai 26 orang wakil makmal daripada Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Fakulti Sains (FS) dan Fakulti Kejuruteraan (FK) telah menghadiri bengkel selama satu hari ini. Sekitar jam 9.00 pagi, bengkel dimulakan dengan ucapan aluan daripada Dr. Shafizah Ishak, pencipta CariLab dan juga wakil Putra Science Park (PSP). Kemudian diteruskan lagi dengan sesi pengenalan CariLab dan perkembangan semasa pembangunan CariLab daripada CEO Synchronetwork Sdn. Bhd. iaitu En. Thoriq. Pada sesi petang, En. Ammar memberikan penerangan teknikal dan ujilari/simulasi UAT dan SRT CariLab kepada wakil makmal yang terlibat. Bengkel ini berakhir kira kira jam 4:30 petang dan disudahi dengan sesi fotografi dan penyampaian cenderamata kepada semua yang terlibat.
Tarikh Input: 01/07/2026 | Kemaskini: 01/07/2026 | muhammadfadli

Aras 1, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia